Monday, 11 July 2011

Amalan Berbudi Bahasa Banyak Faedahnya

Setiap manusia yang hidup di muka bumi Allah swt ini mempunyai berbagai-bagai perangai. Ada yang baik dan tidak kurang juga yang kurang baik. Kita di Malaysia ini, hendaklah selalu mengamalkan amalan berbudi bahasa ini kerana kita sudah sinonim dengan sifat yang lemah lembut dan bersopan-santun.
Banyak faedah yang kita peroleh dengan mengamalkan sikap berbudi bahasa. Antaranya ialah, kita akan dihormati oleh orang lain. Dengan sikap yang lemah lembut dan tidak bercakap kasar, kita akan dipandang mulia dan disukai oleh mereka yang berada di sekeliling kita. Mereka tidak sesekali memandang serong terhadap kita. Malah, mereka akan berasa senang untuk berdamping dengan kita.
Allah swt juga suka akan orang-orang yang berbudi bahasa. Hal ini demikian kerana mereka yang berbudi bahasa tidak akan sesekali mengeluarkan perkataan-perkataan yang tidak berfaedah dan perkataan yang kurang sedap didengar oleh orang lain. Bukan itu sahaja, malah kita akan sentiasa diredai oleh Allah swt.
Sikap kita yang berbudi bahasa ini juga akan membawa kesenangan dan kebaikan dalam diri kita. Apabila kita hendak memohon sesuatu pekerjaan, sikap inilah yang akan dilihat oleh seseorang majikan itu. Lalu, majikan tersebut tidak akan teragak-agak untuk mengambil kita bekerja.
Kita juga akan mempunyai banyak kawan. Hanya kawan yang baik sahaja sesuai untuk berdamping dengan kita yang mempunyai budi bahasa ini. Mereka akan berasa gembira apabila berada bersama-sama kita sepanjang masa. Hal ini akan membuat seseorang itu akan berasa yakin pada diri sendiri.
Akhir sekali, amalan berbudi bahasa dapat menjaga maruah kita terutama bagi seorang muslim. Budi bahasa inilah yang mencorak diri seseorang itu sama ada baik atau buruk perbuatannya.
Oleh itu, kita hendaklah mengamalkan amalan berbudi bahasa dengan semua orang tanpa mengira batas agama atau bangsa. Dengan sikap inilah kita akan dipandang mulia sepanjang zaman. Tepuk dada tanyalah selera. Hanya kita yang akan membentuk budi pekerti dalam diri sendiri.

Berbual-bual tentang tahap disiplin sekolah.

Dalam perjalanan menuju kantin sekolah, saya terserempak dengan Aisyah. Kami telah membincangkan masalah disiplin dalam kalangan pelajar.

Ailiah: Aisyah, kamu tahu tak, disiplin memainkan peranan penting dalam kehidupan kita?

Aisyah: Saya pasti tahulah. Akhlak dapat membentuk disiplin dalam kehidupan kita. Dengan itu, kita tidak akan melakukan kesalahan yangmenjejaskan imej diri, sekolah, dan keluarga.

Aliah: Tapi, saya nampak disiplin pelajar sekolah kita semakin meruncing. Mereka melakukan banyak kesalahan tanpa memikirkan denda yang bakal diterima oleh mereka.

Aisyah: Ya, mereka memang degil dan nakal. Semalam saya mendapat tahu daripada Cikgu Tan bahawa pelajar kelas 6 Citra tidak menghormati guru. Ada antara mereka yang ponteng sekolah dan membuli pelajar dari sekolah lain. Nampaknya, tahap disiplin sekolah sudah bisul jadi nanah.

Aliah: Betul ke? Saya memang berasa kecewa dengan sikap mereka. Saya berpendapat pihak sekolah mesti tegas menyelesaikan masalah ini. Tindakan yang tegas mestilah dikenakan kepada mereka yang melanggar peraturan sekolah.

Aisyah: Sebenarnya, saya berpendapat bahawa pelajar dan guru-guru harus bekerjasama bagai aur dengan tebing dalam mengatasi masalah ini. Saya pasti, kerjasama dan komitmen dalam pelajaran akan menyebabkan masalah disiplin dapat diatasi.

Aliah: Betullah kata kamu. Saya juga berpendapat bahawa apabila pelajar mementingkan pelajaran, masalah disiplin tidak akan menjadi serius. Peningkatan disiplin pelajar dapat meningkatkan imej sekolah.

Aisyah: Ya, eh, itupun Shekinah. Kenapa dia menangis?

Aliah: Jom kita tanya dia?

Aisyah: Baiklah.

Selepas tamat berbincang, mereka pun menuju ke arah Shekinah yang mengalirkan air mata.

Ucapan Ketua Pengawas yang baru dilantik.

Salam sejahtera saya ucapkan kepada Tuan Pengerusi Majlis, guru besar, guru-guru, dan rakan seperjuangan. Hari ini ialah pelantikan pengawas. Oleh itu, saya ingin mengucapkan tahniah kepada para pengawas yang dipilih oleh pihak sekolah.

Warga sekolah yang saya muliakan,
Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak sekolah keana memberi peluang berucap kepada saya. Saya terharu dengan pelantikan sebagai ketua pengawas sekolah. Saya akan memikul tenggungjawab ini mulai hari ini.

Sebagai ketua pengawas, saya akan menjalankan tugas dengan sebaik-baik mungkin. Setiap arahan pihak sekolah dan guru disiplin tidak akan saya pandang ringan. Hal ini penting demi meningkatkan tahap disiplin sekolah.

Oleh hal yang demikian, saya memohon kerjasama daripada semua pihak dalam menjadikan sekolah kita lebih selamat dan ceria. Setiap pelajar dan guru diminta melaporkan ketidakberdisiplinan pelajar kepada pengawas. Hal ini penting agar pelaksanaan denda dapat dijalankan.

Sebagai ketua pengawas dan pengawas yang baru dilantik, saya dan rakan-rakan pengawas masih belajar. Saya berharap pihak sekolah akan menegur kami jika melakukan kesalahan. Dengan ini, saya akan mengambil iktibar daripadanya untuk memperkasakan lembaga pengawas sekolah.

Hadirin yang saya hormati,
Saya berharap sekolah kita akan terus mencapai kecemerlangan akademik dan kokurikulum. Dengan mendisiplinkan diri, kita dapat berjaya dalam setiap bidang yang diceburi. Saya ingin menyampaikan sebuah pantun sebagai penghias bicara hari ini.

Buah cempedak di luar pagar,
Ambil galah tolong jolokkan;
Kami pengawas baru belajar,
Kalau salah tolong tunjukkan.

Sekian, terima kasih.

Kepentingan Hutan

Hutan merupakan anugerah daripada Tuhan. Anugerah ini memang tidak ternilai kepada hidupan sarwa alam. Oleh sebab itu, alam ini wajar dipelihara sebelum terlambat kerana “sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna”.

Hutan dapat dijadikan kawasan tadahan air hujan. Dengan ini, kita dapat menggunakannya dalam pelbagai aspek kehidupan harian seperti memcuci, memasak dan lain-lain. Oleh sebab itu, hutan menjadi nadi kehidupan kepada penduduk bumi.

Selain itu, hutan juga menjadi kawasan mainan fauna di muka bumi ini. Hutan yang berfungsi sebagai habitat kepada flora dan fauna, hutan dapat menyelamatkan flora dan fauna. Hal ini demikian kerana kepupusan flora dan fauna berkait rapat dengan hutan.

Sementara itu, hutan juga dapat memainkan peranan sebagai pengawal pemanasan global. Pemanasan global berlaku kerana pencemaran dan sikap manusia yang tidak cinta akan alam sekitar. Oleh hal yang demikian, tahap kepanasan di muka bumi ini dapat dikurangkan agar kita tidak berpanas.

Hutan ialah tempat manusia mencari rezeki, terutamanya Orang Asli. Oleh itu, hasil hutan seperti herba dan ubat-ubatan dapat terus dicari dengan kewujudan hutan. Saya berharap amalan perubatan tradisional dapat diperkembangkan jika hutan dijaga dengan baik.

Kesimpulannya, hutan wajib dipelihara dengan sebaik-baiknya oleh setiap penduduk bumi. Hutan dapat memberi ketenangan jiwa kepada kita dengan hutan yang malar hijau. Oleh itu, kawasan hutan mestilah diperluas dan dipulihara demi masa depan semua.

Tuesday, 14 June 2011

Sumbangan Keluarga dalam Kejayaan Cemerlang

“ Pelajar di Kedah memperoleh 21A dalam SPM 2007”
“9A Dicapai dalam PMR 2007”
“Kejayaan Faridah dalam UPSR Didorong Keluarga”
Perkara ini sudah sinonim dalam generasi dotkom pada hari ini. Melalui kaca televisyen, lensa kamera dan dipaparkan di akhbar-akhbar tempatan, scenario dan etos kecemerlangan dihebahkan dan dicanang-canangkan di serata negara. Benak fikiran masyarakat pada hari ini kadangkala cukup sempit dan jumud apabila mereka yang membualkan perihal akademik dicop dan dilabel sebagai “mat skema”. Sesungguhnya, stigma masyarakat kontemporari ini perlu diubah dan dineutralkan. Pelajar-pelajar ini sepatutnya dihargai dan dijadikan tamsilan untuk perkembangan diri mereka. Azali Azlan, pelajar SMKA Yan telah mencipta 21A1. Justeru katanya keluargalah yang menjadi factor utama kejayaan beliau. Persoalannya, apakah bentuk sumbangan keluarga sehingga tercetusnya kejayaan gemilang itu?
Pertamanya, keluarga perlu menunjukkan teladan yang baik kepada anak-anak. Memetik kata-kata Franklin D Roosevelt, tokoh filsuf terkemuka Amerika Syarikat,” Segala-galanya bermula di rumah.” Justeru, cukup jelas, konotasi di sebalik madah beliau tersebut ialah keluarga perlu mempamerkan kelakuan yang baik kepada anak-anak. Keluarga merupakan institusi yang paling ampuh dan paling dekat dengan anak-anak. Mereka perlu membantu perkembangan akademik anak-anak mereka. Sebagai contoh, ibu bapa boleh bersama-sama mengulangkaji pelajaran bersama anak-anak. Hal ini akan dapat menimbulkan motivasi yang cukup kuat dan mampu merangsang intuisi anak-anak untuk terus belajar. Jangan menjadikan perbuatan anda seolah-olah “cakap tak serupa bikin”. Perkara ini amat berbahaya kerana anak-anak akan beranggapan ibu bapa mereka tidak serius dalam melaksanakan tanggungjawab. Hal ini akan hanya menjurus kepada pembelajaran yang tidak konsisten dan hanya bersifat acuh tak acuh. Bak kata pepatah, “ bapa borek anak rintik”. Sehubungan dengan itu, tampilkan kepada mereka abet yang sempurna demi kecemerlangan akademik anak-anak.
Selain itu, keluarga juga perlu menerapkan tamdun iqra’ dalam kalangan anak-anak. Dalam era ledakan maklumat ini, persaingan antara para pelajar semakin ekstrim. Justeru, keluarga perlu emnjadi agen pendorong kepada anak-anak untuk melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan. Pepatah Arab kuno ada menyebut, “membaca kunci pengetahuan” atau “al-qiraati miftahul ilmi”. Rentetan itu, melalui amalan membaca yang disuburkan oleh keluarga, anak-anak dapat meningkatkan ilmu pengetahuan mereka dalam segenap bidang. Tabiat membawa anak-anak ke perpustakaan merupakan satu langkah yang cukup bijak untuk menggalakkan anak-anak membaca. Impaknya, sudah pasti anak-anak akan berasa lebih berilmu dan yakin untuk menghadiri kelas. Semua ini bemula dan berpunca daripada keluarga yang berusaha untuk membudayakan ilmu dalam kalangan anak-anak.
Di samping itu, keluarga juga perlu sentiasa mengambil cakna perkembangan akademik anak-anak mereka. Falsafah China ada menyebut ,” hidup ini umpama roda, kadangkala kita di atas, kadangkala kita di bawah”. Doktrin ini memanifestasikan mesej yang cukup jelas iaitu kejayaan manusia tidak abadi dan kekal selama-lamanya. Kadangkala, kita terkandas di tengah jalan. Bak kata pepatah, “ kusangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari”. Ibu bapa terutamanya perlu memahami situasi anak-anak. Jerkahan dan tengkingan tajam kepada anak-anak tidak patut berlaku apabila anak-anak gagal dalam peperiksaan misalnya. Hal ini kerana perbualan ini hanya akan mengeruhkan lagi keadaan. Kondisi anak-anak akan bertambah parah kerana mentalnya didera dan disumbat dengan makian dan cercaan. Sebaliknya, ibu bapa perlu memberikan sokongan moral dan dorongan untuk mereka terus mencuba. Sekurang-kurangnya, rohani mereka dapat dipulihkan sedikit demi sedikit. Perkara ini amat vital untuk diaplikasikan oleh ibu bapa secara berterusan, bukan bersifat musiman.
Sementelahan pula, keluarga perlu menyediakan keperluan yang mencukupi kepada anak-anak. Acapkali kita dengari, kes-kes pelajar yang tidak lengkap aksesori persekolahannya. Perkara ini bukan berpunca daripada kedaifan atau kesempitan wang, namun perkara ini tercetus kerana sikap ibu bapa yang terlalu mengejar materialistik hingga terlupa akan tanggungjawab mereka terhadap anak-anak. Sikap “bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing “ ini perlu dibanteras secara total. Keperluan fizikal mahupun mental perlu disediakan dengan lengkap bagi membantu kecemerlangan anak-anak. Sebagai contoh, ibu bapa perlu menyediakan alat-alat tulis yang mencukupi, pakaian yang bersih dan rapi serta tidak dilupakan pengisisan rohani dan jasmani. Sekiranya segala keperluan disediakan, sudah pasti anak-anak akan berasa dihargai dan menganggap dirinya asset yang cukup penting dalam keluarganya. Lantaran itu, anak-anak akan dapat melakar kejayaan demi kejayaan yang gemilang dalam peperiksaan.
Sebagai intiha, keluarga merupakan agen penggerak yang paling utama dalam memacu kecemerlangan akademik anak-anak. Keluargalah yang mengajar anak-anak membezakan yang mana satu kaca dan yang mana satu pertama. Perlu disedari, kehidupan marcapada ini cukup menuntut kita untuk benar-benar cemerlang dalam akademik. Anak-anak perlu peka akan hakikat tersebut dan seharusnya anjakan paradigma diimplimentasikan. Mereka merupakan pemimpin pada masa hadapan dan bakal mewarisi tampuk pemerintahan negara. Mahukah negara kita Malaysia ditadbir dan diterajui pemimpin yang bobrok dan kaya dengan pidana? Sudah tentu tidak. Justeru, ibu bapa perlu mendorong dan memberikan sokongan yang sepenuhnya kepada anak-anak demi kecemerlangan mereka.
Fikiran melayang di hujung benak,
Terkenang kekasih yang cukup disayang,
Keluarga pencetus kecemerlangan anak,
Kelak negara cemerlang terbilang.
Akhirul kalam, keluarga pendorong kejayaan anak-anak. Bersama-sama kita  membentuk generasi yang berpendidikan. “Anak Berjaya, Keluarga Bahagia”

Kepentingan Mempelajari Mata Pelajaran Sejarah

Memetik madah agung, George Santayana, seorang ahli sejarawan dunia, “ seseorang yan g melupakan sejarah pasti akan mengulanginya”. Justeru, bertepatan dengan kata-kata tersebut, mata pelajaran Sejarah telah diperkenalkan dalam Kurikukum Bersepadu Sekolah Menengah. Terdapat pelbagai kepentingan mempelajari mata pelajaran Sejarah.
Pertama, kita dapat menerapkan nilai-nilai patriotisme dalam kalangan pelajar. Semangat cinta akan negara amat vital dan perlu dipupuk dalam sanubari rakyat jelata sejak kecil lagi. Bak kata pepatah, “melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Lantaran itu, pengajaran mata pelajaran Sejarah dianggap sebagai satu wadah bagi menyuntik semangat kebangsaan ini. Melalui penggaluran semula kisah kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka pimpinan cakerawati Sultan Muzaffar dalam silibus seawal Tingkatan Satu Lagi misalnya, sudah pasti para pelajar akan berasa kagum akan sejarah negara. Maka jelaslah, patriotisme pasti terpasak padu dalam nurani pelajar menerusi instrument ini.
Selain itu, pembelajaran mata pelajaran Sejarah dapat meningkatkan pengetahuan pelajar mengenai asal-usul negara. Silibus Sejarah selama lima tahun yang cukup komprehensif izharnya dapat member kesedaran kepada pelajar bahawa perjuangan ke arah kemerdekaan suatu ketika dahulu bukanlah sesuatu yang mudah. Dengan kolaborasi dan sinergi antara kaum Melayu, Cina dan India berkat usahasama Tunku Abdul Rahman, Tan Cheng Lock dan Tun V.T. Sambathan, barulah kita dapat merasai nikmat kemerdekaan. Perkara ini sepatutnya perlu diketahui oleh setiap warganegara kerana “sesiapa yang melupakan akar bangsanya ibarat si Tenggang menderhakai ibunya”. Sehubungan dengan itu, mata pelajaran Sejarah berperanan sebagai satu platform yang cukup utuh untuk mengetengahkan kembali warisan sejarah kita suatu ketika dahulu.
Akhirnya, kita dapat mengambil iktibar daripada peristiwa lampau melalui mata pelajaran Sejarah. Sarwajagat mengakui, kuasa-kuasa imperialis dunia menguasai Tanah Melayu silih berganti selama 446 tahun. Maka, dalam tempoh itu, kita ditekan dan ditindas selayak binatang oleh penjajah durjana. Justeru, apabila negara sudah merdeka, kita mula menyedari kepentingan sains dan teknologi untuk berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan kuasa-kuasa danawa dunia. Lantas, mengambil iktibar dari peristiwa silam, Malaysia melestarikan teknologinya melalui Koridor Raya Multimedia dan Cyberjaya selaras dengan Pelan Jalur Lebar Kebangsaan. Atas prinsip, “ di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung”, Malaysia terus dikenali di seantero dunia. Maka, benarlah bahawa iktibar yang diperoleh daripada pembelajaran Sejarah dapat memajukan negara.
Akhirulkalam, semua pihak perlu bekerjasama dan berganding bahu bagi meningkatkan kualiti dan penguasaan pelajar dalam mata pelajaran Sejarah lagi. Demi kemaslahatan bersama, ayuhlah, kita lengkapkan diri dengan ilmu-ilmu tawarikh agar nilai sejarah kita tidak luput ditelan zaman.

Peranan Ibu Bapa dalam Mengatasi Masalah Remaja

Remaja,
Ingatlah masa depanmu,
Kenanglah,
Jasa ibu dan ayahmu,
Susah payah mereka membesarkan kita.
Lirik lagu di atas cukup jelas memanifestasikan satu mesej kepada para remaja supaya sentiasa menghargai ibu dan bapa mereka. Umum mengetahui, para remaja marcapada ini terlalu lalai dan leka dibuai arus modenisasi. Penglibatan mereka dalam delinkuen social sudah menjadi buah mulut dan mauduk utama perbualan orang mutakhir ini. Justeru, ibu bapa dilihat sebagai satu komponen paling utama malah turut dianggap formula yang cukup mujarab bagi mengatasi masalah dalam kalangan remaja.
Pertama, ibu bapa perlu menghulurkan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi kepada anak-anak. Hal ini demikian kerana remaja merupakan golongan yang sangat menginginkan perhatian. Naluri mereka yang mudah memberontak sudah pasti dapat ditenangkan menerusi perasaan cinta ibu bapa terhadap anak-anak. Api kemarahan dan banteng keegoan yang menebal di dada mereka pasti mudah diruntuhkan dengan kasih sayang ibarat menatang minyak yang penuh kepada anak-anak. Andai kata remaja ketandusan kasih sayang, sudah pasti mereka akan mecari haluan lain untuk melepaskan diri dari kepompong ketidakselesaan. Natijahnya, mereka akan mula berjinak-jinak dengan najis dadah dan tidak mustahil akan terjerumus dalam kancah kemaksiatan. Berdasarkan statistic yang dikeluarkan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, kadar remaja lari dari rumah kian meningkat sebanyak 5.7 peratus dari tahun 2007 ke 2008. Justeru, sebelum nasi sudah menjadi bubur, ibu bapa perlu mengutamakan anak-anak mereka berbanding hal-hal lain.
Selain itu, ibu bapa juga perlu meluangkan masa bersama anak-anak. Hal ini cukup bertepatan dengan langkah Kementerian Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat yang telah mengisytiharkan cuti pada hari Sabtu dan Ahad kepada semua pegawai kerajaan. Perkara ini cukup membuktikan keprihatinan kerajaan Malaysia dalam menyediakan ruang dan peluang kepada ibu bapa untuk bersama anak-anak. Percayalah, anak-anak akan berasa lebih dihargai apabila ibu bapa menghabiskan masa berkualiti bersama mereka. Tamsilannya, ibu bapa boleh membawa anak-anak melancong, beriadah bersama-sama malahan menjalankan aktiviti kerohanian secara berjemaah. Melihat kepada scenario masyarakat kontemporari, ibu bapa lebih cenderung untuk mengejar materialistic dan menjadikan pejabat sebagai rumah kedua mereka. Sikap “ibarat enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing” ini perlu dikikis segera bagi memastikan para remaja tidak terlibat dalam gejala social. Maka, jelaslah anak-anak remaja perlu dijadikan priority utama dalam usaha membendung kemelut ini.
Di samping itu, ibu bapa perlu menyediakan pendidikan yang secukupnya kepada anak-anak. Pendidikan ini merangkumi pendidikan formal mahupun pendidikan tidak formal. Tindakan kerajaan Malaysia mewajibkan keseluruhan kanak-kanak di negara ini mendapat pendidikan di sekolah amatlah wajar dan perlu disokong. Sehubungan dengan itu, ibu bapa perlulah memastikan anak-anak mereka memperoleh pendidikan sewajarnya, selari dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Sementelahan itu, ibu bapa juga perlu menerapkan pendidikan berbentuk tidak formal kepada anak-anak. Pengajaran ilmu-ilmu agama dan nilai-nilai murni selaras dengan norma masyarakat pada hari ini amat penting bagi memastikan kerohanian yang mantap dalam diri anak-anak. Ingatlah, “segala-galanya bermula di rumah”. Begitulah ungkapan kalimah tokoh filsuf terkenal, Franklin D. Roosevelt. Maka, ibu bapalah yang bertindak sebagai agen pencorak utama karakter anak-anak agar mereka tidak mencetuskan cangkaliwang pada hari muka. Justeru, penerapan pendidikan yang sempurna pasti dapat menangani masalah ini.
Seterusnya, ibu bapa perlu mengawasi perilaku anak-anak. Peribahasa Melayu ada menyebut,” kalau tiada angin masakan pokok akan bergoyang”. Setiap perbuatan yang dilakukan oleh anak-anak pasti ada penyebabnya. Sehubungan dengan itu, adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk sentiasa mengikuti perkembangan diri anak-anak remaja mereka. Pergaulan bebas anatara lelaki dan perempuan sudah sinonim dengan masyarakat. Seluar ketat, baju singkat hingga menampakkan pusat ibarat suatu adat. Maka, di sinilah ibu bapa perlu memainkan peranannya iaitu meninjau perubahan sikap anak-anak mereka. Serbuan pihak polis di kota metropolitan Kuala Lumpur iaitu di kelab-kelab malam di sana mendapati hampir 15 peratus anak-anak remaja di bawah umur ditahan positif dadah. Perkara ini jelas menunjukkan andai ibu bapa membiarkan anak-anak mereka tanpa tempat bergantung, mereka akan mudah terlibat dalam kebejatan sosial pada masa ini. Maka, ibu bapa perlu bertindak proaktif dan pragmatic dalam usaha membasmi gejala sosial dalam kalangan anak-anak remaja.
Akhir sekali, ibu bapa perlu melengkapkan keperluan asas anak-anak. Sekali air bah, sekali pantai berubah. Begitu juga dengan perkembangan dunia yang kian ekstrem menjengah kita. Justeru, dalam kita mengharung arus pascamodenisme, sudah tentu anak remaja tidak mahu dihimpit dengan ketidakselesaan dan pemikiran yang jumud. Maka, sebagai ibu bapa, mereka perlu menyediakan keperluan asas anak-anak bagi menjamin keselesaan. Tempat tinggal yang kondusif, pakaian yang bersesuaian serta makanan dan minuman yang berkhasiat perlu disediakan. Hal ini amat penting bagi memastikan anak-anak berasa seronok berada di rumah lantas tidak terlibat dalam gejala sosial. Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh sekumpulan mahasiswa Fakulti Sains Kemasyarakatan, Universiti Malaya, anak-anak remaja daripada golongan miskin lebih cenderung untuk terlibat dalam penagihan najis dadah. Hal ini pastinya akan dapat dibendung andai segala keperluan asas remaja dilengkapkan walaupun ibu bapa tidak melambakkan kemewahan kepada mereka.
Intihanya, ibu bapa perlu memantapkan kemahiran keibubapaan mereka lagi dalam mendidik anak-anak. Contohilah ketokohan Luqmanul Hakim yang cukup hebat mendidik anak-anaknya berorientasikan Al-quran dan al-Hadis. Kita tidak mahu remaja-remaja yang bobrok dan kaya dengan pidana dihasilkan. Sebaliknya, kita inginkan barisan remaja yang berkaliber, cukup syumul dan utopia hasil didikan kedua-dua ibu bapa mereka. Marilah kita berubah, “sebelum padi di tangan menjadi lalang” dan “ayam ditambat disambar helang”, ayuhlah ibu bapa, berkorbanlah demi masa depan anak-anak tercinta.
Berkorban apa sahaja,
Harta ataupun nyawa,
Itulah kasih mesra,
Sejati dan mulia.
Ingatlah, ibu bapa cemerlang, anak-anak gemilang!