Sunday 24 April 2011

Kemalangan Budaya Kita?

Kejadian kemalangan ngeri yang berlaku di lebuh raya pada minggu lepas (10 Oktober 2010) seolah-olah memberikan satu gambaran bahawa kadar kemalangan di negara ini begitu serius. Ya, memang kemalangan itu sesuatu yang tidak boleh dielakkan kerana takdir tetapi kalau kita kaji secara teliti kebanyakan kemalangan itu berlaku kerana kecuaian manusia sendiri.
Antara punca kemalangan banyak dikaitkan dengan kecuaian pemandu itu sendiri. Aspek memandu dengan laju terutama dalam kalangan pemandu muda atau mereka yang memandu bas dan lori menjadikan kenderaan sukar untuk dikawal ketika kecemasan lalu memgakibatkan kemalangan pula. Rasa letih atau begitu yakin mampu memandu walaupun sudah berjam-jam memandu tanpa henti turut mengabui mata pemandu kita lalu menjurus ke arah berlakunya kemalangan. Sikap alpa sebeginilah yang harus difahami dan diubah oleh masyarakat kita.
Pada masa yang sama kenderaan yang tidak diselenggara dengan baik turut menjadikan risiko kemalangan begitu tinggi. Banyak pengguna enggan memeriksa minyak brek, tayar, cermin dan lampu isyarat lalu semua ini bakal mencetuskan peluang untuk sesuatu keadaan yang membawa berlakunya satu tragedi dalam kehidupan manusia itu. Sikap tidak apa dalam jiwa kita harus dikikis jaauh-jauh jika kita mahu mengekang kemelut kemalangan yang semakin menjadi-jadi ini.
Bagaimana pula dengan peranan pihak berkuasa terutama polis yang seharusnya lebih tegas terutama di kawasan berisiko tinggi berlakunya kemalangan itu. Tempatkan anggota di kawasan yang dipercayai bahaya dan menahan serta menyaman mana-mana pemandu yang memandu tanpa mematuhi arahan peraturan jalan raya tanpa belas kasihan. Sudah sampai masanya pihak polis bertindak tegas tanpa member muka kepada pengguna yang??begitu banyak kesalahan lalu lintasnya.
Mungkin kita semua harus berfikir sejenak bahawa kenderaan yang dipandu itu turut dinaiki oleh isteri orang, anak orang, suami orang dan sahabat orang yang amat disayangi oleh kaum keluarga mereka. Kalau kesedaran ini timbul maka pemandu itu pasti akan memandu dengan cermat lalu kemalangan tidak akan berlaku.


No comments:

Post a Comment