Saturday 11 June 2011

membaca amalan mulia

Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Tuan Guru Besar, guru-guru, rakan-rakan dan hadirin sekalian. Assalamualaikum dan selamat sejahtera.
          Tajuk syarahan saya ialah ‘ Kepentingan Membaca’. Membaca adalah satu amalan yang mulia. Membaca boleh memberi manfaat kepada kita semua. Melalui pembacaan, kita dapat mengetahui pelbagai perkara. Contohnya melalui surat khabar. Akhbar merupakan sumber maklumat dan menyiarkan pelbagai peristiwa yang berlaku di seluruh dunia.
Saudara dan saudari sekalian, 
Selain mendapat maklumat, membaca juga boleh mengisi masa lapang kita. Jika kita menjadikan sifat membaca sebagai amalan, sudah tentu masa kita tidak terbuang begitu sahaja. Jadi, kita boleh mengelakkan diri daripada melakukan perkara yang tidak berfaedah seperti bermain-main dan merayau-rayau di kedai-kedai dan sebagainya.
          Di samping itu, membaca boleh membaiki penguasaan bahasa kita. Melaluinya kita boleh menambah perbendaharaan kata.
          Oleh itu, kita mestilah menjadikan tabiat suka membaca sebagai amalan hidup. Manusia yang suka membaca adalah manusia yang mempunyai banyak ilmu.
          Sekian , saya sudahi syarahan saya dengan ucapan terima kasih.
Kamu telah menyertai pertandingan syarahan sempena Kempen Hijau yang telah diadakan di sekolah kamu. Tajuk syarahan kamu ialah Menjaga Alam Sekitar. Tuliskan syarahan kamu itu.
          Yang Mulia Tuan Pengerusi Majlis, barisan hakim yang bijaksana , guru-guru dan rakan-rakan sekalian. Tajuk syarahan saya ialah ‘Menjaga Alam Sekitar’.
Hadirin hadirat sekalian,
          Alam sekitar adalah suasana yang wujud di sekeliling kita. Ini termasuk bumi yang kita pijak dan udara yang kita sedut. Semakin hari alam sekitar kita semakin tercemar.
          Antara faktor-faktor pencemaran ialah pengeluaran asap-asap kotor daripada kenderaan dan kilang-kilang, sampah sarap yang sukar dihapuskan seperti longgokkan besi buruk , sungai yang dipenuhi sampah dan bangkai binatang.
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
          Ini jelas membuktikan bahawa hidupan kita adalah terdedah kepada bahaya pencemaran alam sekitar. Oleh itu, kita hendaklah menjaga alam sekitar dengan tidak melakukan perkara-perkara yang boleh mencemarkannya. Sebagai pengguna, kita hendaklah sama-sama mendisiplinkan diri dan menjaga kebersihan alam sekitar.
          Sebagai mengakhiri syarahan ini, saya ingin tegaskan bahawa langkah serius perlu diambil dengan segera dalam usaha menjaga alam sekitar kita. Setiap individu perlu mempunyai kesedaran sivik yang tinggi dalam hal ini. Alam sekitar yang bersih menjamin kesihatan kita.
          Sekian, terima kasih

No comments:

Post a Comment