Sunday 9 October 2011

Faktor-faktor yang mempengaruhi remaja terlibat dalam sosial di sekolah

Kelibatan remaja dalam sosial di sekolah adalah disebabkan rakan sebaya.Hal ini demikian,kita mestilah pandai memilih rakan.Karangan ini dipetik daripada www.tuanmat.tripod.com.





  TAJUK:  Masalah sosial dikalangan remaja adalah berpunca daripada hubungan ibu bapa dengan remaja 1. Sinopsis Isu 
Peranan golongan remaja tidak dinafikan kerana mereka merupakan waris yang akan menentukan hala tuju masa depan. Mereka mempunyai pengaruh besar  terhadap keadaan sosial, politik dan ekonomi. Merekalah yang akan memegang tampuk pentadbiran,  penggerak ekonomi dan pembangun generasi. 
Namun dalam pada itu kita tidak putus-putus dibebani dengan masalah sosial remaja yang semakin hari semakin meruncing.  Masyarakat dikejutkan dengan pelbagai paparan secara terbuka baik di media elektronik, media cetak mahupun di Internet.  Masalah sosial, keruntuhan akhlak dan kemerosotan disiplin  amat membimbangkan kerana ia turut mengundang pelbagai implikasi yang boleh meruntuhkan kestabilan negara dalam usaha melahirkan masyarakat produktif dan berdaya maju. 
Sebelum ini kita dikejutkan dengan masalah bohsia, bohjan, pelacuran dan seks bebas dan penyalahgunaan dadah.  Masalah menjadi lebih gawat apabila kita dikejutkan  dengan tindakan ganas pelajar sehingga menyebabkan kematian dan kecederaan serius kepada si mangsa. Isu ini menimbulkan pelbagai persoalan dalam merungkai punca keadaan itu.
Anak-anak, khasnya remaja pada abad ke-21 ini terdedah dengan pelbagai bentuk pengaruh.  Dalam dunia yang disebut sebagai"borderless world" ini banyak menyuntik unsur-unsur yang positif mahu pun yang negatif.  Anak-anak lebih mudah tertawan dengan program yang membunuh sahsiah berbanding program yang menghidupkan peribadinya (Hassan Mohd Ali,1977)
Secara tidak langsung, ini memberi tamparan yang hebat kepada ibu bapa. Ibu bapa harus dapat membimbing individu mengenali diri sendiri sebagai insan dalam alam sosial. 
Masalah berkaitan sosial remaja banyak berpunca daripada hubungan antara ibu bapa dengan remaja itu sendiri.  Sejumlah besar remaja menyalahkan ibu bapa.   Sebagaimana petikan akhbar berjudul "Ayah Sibuk, Remaja Liar" Harian Metro, 1 Ogos 2001, "Keluarga Terbiar, Remaja Jadi Liar"  Harian Metro, 6 September 2001 dan  "Jenayah Rogol Juvana Salah Siapa?" Utusan Malaysia, 23 Julai 2001. Kesibukan urusan kerja menyebabkan kekurangan agihan masa.  Kasih sayang  yang mereka harapkan diganti dengan kemewahan dan wang ringgit. 
Ibu bapa pula menafikan kenyataan ini dan menyalahkan pihak lain sama ada disebabkan faktor ego dengan kedudukan mereka atau persepsi mereka terhadap golongan remaja yang dikatogerikan sebagai golongan yang masih mentah.
Bagaimanapun tugas tersebut nampaknya telah diserahkan bulat-bulat kepada pembantu rumah atau pihak sekolah.  Dengan berbuat demikian mereka berharap akhlak, personaliti dan kendiri anak mereka dapat dibentuk sebaik mungkin. Akibatnya , mereka mengundang gejala sosial di kalangan remaja. 
 
2. Isu
Isu yang dipaparkan dalam keratan akhbar ini menegaskan tentang masalah sosial dikalangan remaja adalah berpunca daripada hubungan ibu bapa dengan remaja.  Pertentangan pendapat antara remaja dan ibu bapa timbul apabila kedua pihak ini cuba untuk mempertahankan kebenaran masing-masing. 
Remaja  yang bermasalah menuding jari kepada ibu bapa, kononnya ibu bapa tidak memberi perhatian wajar kepada mereka kerana sibuk menumpukan urusan kerja. Mereka kekurangan masa bersama,  kasih sayang yang mereka harapkan diganti dengan kemewahan dan wang ringgit.  Tanggungjawab diserahkan kepada pembantu rumah, guru atau pendidik yang telah dibayar gaji.
Dari perspektif ibu bapa pula, mereka seolah-olah keliru dengan kenyataan anak-anak mereka.  Lebih buruk lagi apabila mereka menuding jari kepada pihak lain seperti sekolah yang kononnya gagal melahirkan pelajar yang berdisiplin. 
Mencari siapa punca masalah bukanlah jalan yang bijak dalam menyelesaian sesuatu masalah.  Namun yang pasti konflik akan membawa perubahan.
3. Definisi dan Konsep Teori Konflik
Teori Konflik bermula daripada pandangan asal Karl Marx dan diikuti oleh Weber.  Oleh itu teori ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu aliran Marx dan aliran Weber.
Mengikut Marx konflik bukan semata-mata sebagai satu cara analisa sosiologi tetapi merupakan satu cara reformasi sosial.  Bagaimana ketegangan yang berpunca daripada ketidaksamaan memberi kesan kepada kestabilan dan perubahan. Teori ini akan mengkaji bagaimana hubungkait antara konflik dan perubahan.  Ketegangan dan konflik akan menyumbang kepada perubahan sosial.  Perubahan boleh berbentuk revolusi atau adaptasi.  Sementara itu mengikut George Simmel, konflik ialah sesuatu yang semulajadi dalam sesuatu masyarakat.  Lewis Coser pula mengatakan bahawa sesuatu konflik itu boleh mempercepatkan proses kesetiaan dan keharmonian di dalam sesuatu kelompok sosial. 
Brinkerhaff and White(1989) merumuskan 3 andaian penting dalam teori konflik
a) Konsep dialektik- evolusi bukan proses utama kepada perubahan sosial tetapi konflik yang menghasilkan perubahan sosial.
b) Determinisme ekonomi - asas kepada perubahan sosial ditentukan oleh faktor-faktor persaingan ekonomi
c) Aktiviti sosial- tugas utama analisis sosial adalah kritikan sosial.
Max Weber pula merupakan seorang rakyat Jerman.  Beliau adalah sosiologis, ekonomi, sejarawan, ahli undangan, ahli falsafah.  Dipengaruhi oleh Karl Marx tetapi menolak konsep Marx.  Contohnya menolak konsep materialisme sejarah Marx.  Menganggap agama penting sebagai agen perubahan.  Tidak setuju dengan revolusi dan mengkritik sosiolisme.  Proses rasionalisasi dunia moden barat berkembang berasaskan rasionalisasi.  Dunia lain terbantut perkembangannya kerana halangan kuasa. Beliau mempersoalkan andaian Marx yang mengatakan ciri-ciri semua institusi sosial adalah berpunca oleh faktor ekonomi.  Menghujahkan bahawa perubahan sosial bukanlah kerana konflik kelas tetapi pelbagai faktor lain.
Menurut pandangan teori ini masyarakat berada dalam keadaan berubah-ubah, berkonflik dan sentiasa ingin memperjuangkan kepentingan masing-masing.  Kumpulan yang kuat atau lebih berkuasa boleh memaksa kumpulan yang lemah untuk menerima nilai-nilainya.  Mengikut teori ini terdapat tiga perkara penting yang berlaku dalam masyarakat iaitu konflik, perubahan dan paksaan.
4. Analisis isu berdasarkan satu teori sosiologi
Konflik mungkin timbul seandainya seseorang itu mempunyai peranan dan ekspektasi yang berbeza-beza.  Sebagai contoh dalam isu ini ibu bapa mengangap bahawa diri mereka telah menjalankan tanggung jawab yang sebaik mungkin dalam memenuhi kehendak anak seperti memberi kesenangan.  Ibu bapa mungkin ingin membaiki status kerana status menyebabkan seseorang itu bertaraf,  diberi perhatian dan keutamaan dalam sesebuah masyarakat terutama bagi komuniti di bandar tetapi perspektif remaja berbeza. 
Menurut Teori Konflik perselisihan berlaku kerana tidak wujud persefahaman yang jelas antara kedua pihak ini.  Memang tidak dinafikan masyarakat madani memperlihatkan satu budaya dimana kedua-dua pasangan suami isteri bekerja.  Sekiranya ibubapa  bekerja, sudah semestinya  masa mereka terpaksa diagihkan antara tugas di pejabat dengan urusan di rumah.  Ini bermakna mereka hanya dapat melihat anak masing- masing ketika sebelum dan selepas kerja.  Ditambah dengan kepenatan selepas tugas, memaksa mereka untuk merehatkan diri. Tanpa jadual harian yang menekankan program bersama anak-anak, kurangnya kegiatan komunikasi seperti tidak bertanya peribadi remaja, bagaimana tentang pelajaran, tidak mengetahui siapa rakan-rakan mereka serta membiarkan mereka terus dibuai budaya negatif .  Sikap mementingkan materialistik atau kerjaya ibu bapa membuatkan remaja tidak berkesempatan untuk berbincang, mengadu hal dan sentiasa memendam rasa mengenai sesuatu perkara. 
Berbagai persoalan timbul dalam fikiran mereka seperti mengapa mereka dilahirkan tetapi dibiarkan?  Untuk kepentingan siapakah mereka sibuk hingga tidak sempat melayan anak?   Apabila mereka rasa tidak dikehendaki, tidak disayangi dan tidak diperlukan oleh ibu bapa, maka mereka membawa perasaan dan harapan di luar keluarga. 
Hubungan interpersonal yang tidak intim menimbulkan keadaan yang tidak menyenangkan.   Segala cetusan rasa diluahkan kepada rakan-rakan di luar. Apabila berjumpa dengan kawan-kawan yang mengambil berat, kawan yang boleh bekerjasama, ditambah pula dengan rakan yang  menghargai dan memerlukannya, maka remaja ini  mengalihkan perhatian kepada kumpulan rakannya.  Lama-kelamaan perhubungan dengan ibu bapa akan terhakis sebaliknya menebalkan hubungan remaja dengan rakan-rakan di luar. 
Pakar psikologi kaunseling melalui teori mereka mendapati empat ciri bagi menjelaskan tabiat seseorang itu seperti Teori Psikoanalisis yang diasaskan oleh Freud.
Pertama:  Teori ini menyatakan tabiat manusia pada asalnya jahat kerana dipengaruhi unsur rangsangan seksual agresif dan tidak rasional wujud dalam diri 
manusia bagi tujuan menjaga perkembangan hidupnya.  Kedua:  Analisis Transisi, teori ini menerangkan tabiat manusia terbentuk hasil daripada skrip hidup yang ditentukan ibu bapa ketika kecil, anak berkenaan merakamkan secara langsung percakapan dan perbuatan ibu bapa mereka. 
Konflik terjadi apabila anak cuba menilai semula skrip hidup lama atau menerbitkan skrip hidup yang baru hasil perkembangan emosi dan pengaruh persekitaran.  Ketiga:  Behaviorisma, iaitu tingkah laku yang terbentuk hasil proses pembelajaran dan evolusi persekitaran.  Tabiat manusia menjadi masalah apabila mereka menerima pembelajaran dan persekitaran yang salah.  Keempat:  Teori Pemusatan Klien.  Teori ini mengandaikan bahawa tabiat manusia secara azalinya adalah rasional, bertanggungjawab dan berusaha mencapai kesempurnaan diri.  Manusia juga cenderung menjadi kecewa dan bermasalah apabila keperluan mencapai kesempurnaan diri dihalang seperti mendapat kasih sayang dan keselamatan. 
James Backer mengatakan ketidakseimbangan disiplin sesebuah keluarga akan menyebabkan anak-anak tidak dapat mewujudkan pengawalan diri yang sempurna.  Ibu bapa hendaklah membimbing, memahami, menyelami kehendak jiwa remaja dan berfikiran terbuka.  Jadilah model terbaik, sekaligus sebagai perangsang.  Ini akan mendorong kepada kewujudan suasana harmonis.
5. Menganalisis isu berdasarkan tiga konsep sosiologi
5.1 Modenisasi 
Modenisasi merupakan satu proses transformasi ekonomi dan sosial dalam masyarakat sebagai kesan daripada bermulanya perindustrian.  Modenisasi boleh juga diterima sebagai keadaan di mana masyarakat tradisional menggantikan atau memodenkan sikap, autoriti, hubungan dan nilai-nilai lama kepada yang dikatakan baru.  Gaya hidup tradisi telah berubah sebagai gaya hidup moden.  Masyarakat mengalami modenisasi secara beransur-ansur dengan adanya pertemuan dengan gejala barat.
Proses modenisasi menyebabkan perubahan samada dalam institusi kekeluargaan atau masyarakat. Terdapat perubahan dalam nilai-nilai dan norma-norma ibu bapa disebabkan oleh proses-proses modenisasi, perbandaran dan birokrasi.  Ibu bapa lebih memanjakan anak memenuhi segala kehendak mereka dan sering bertolak ansur dengan anak-anak mereka. 
Hujah ini menerangkan perubahan-perubahan yang berlaku dari segi kawalan di rumah.  Kanak-kanak yang diasuh dengan manja akan didapati sukar untuk menyesuaikan diri atau memahami hasrat ibu bapa.
Apabila terdapat situasi yang bertentangan antara kehendak individu dengan ibu bapa mereka mungkin akan menggunakan tingkah laku yang liar untuk menyelesaikan situasi yang berlawanan ini boleh mengakibatkan kesan yang menyakitkan ke atas setengah-setengah kanak-kanak yang mana merupakan suatu penggalak kepada masalah sosial.
Dunia berubah bila revolusi perindustrian berlaku,manusia menjadi materialistik dan individualistik.
5.2 Kelas sosial
Terdapat banyak kajian tentang hubungan di antara latar belakang keluarga yang tidak stabil dengan masalah sosial di kalangan remaja.  Remaja yang datang dari keluarga yang taraf sosio ekonomi yang rendah antara faktor utama mereka terjebak dalam kancah masalah disiplin.  Di rumah, kekeluargaan dan penerimaan (acceptance) tidak wujud dalam sebilangan remaja berkenaan. 
Selain itu bilangan ibu bapa dan penjaga yang bekerja di luar rumah yang semakin meningkat juga menyebabkan pelajar merasa terbiar dan tidak mendapat perhatian sewajarnya.  Dapatan yang dinyatakan ini adalah bertepatan dengan hujah-hujah dan dapatan kajian Athur & Ericson (1992);  Kosterman (1996); yang jelas menunjukkan faktor keluarga merupakan alasan utama menyebabkan masalah disiplin. 
Tidak terkecuali remaja berada terutama di kalangan remaja ibu kota. Pengambilan pil Ecstasy dan aktiviti seks bebas. Menurut Ketua Jabatan Antropologi dan Sosiologi Universiti Malaya, Dr. Hussain Mohammad "Pusat hiburan eksklusif menjadi tumpuan remaja seperti ini untuk melakukan kegiatan tidak berfaedah tanpa pengetahuan pihak berkuasa.  Remaja ini pastinya mempunyai wang yang banyak dan memudahkan mereka membeli pil Estasy.  Hanya remaja berada saja mampu membeli pil ini kerana harganya mahal".  Dipetik dari Harian Metro bertajuk "Ayah Sibuk Remaja Liar",  1 Ogos 2001.
Kelas sosial telah menjadi ciri masyarakat moden berbanding semasa zaman penjajahan. Layanan yang berbeza mengikut kelas diamalkan.  Kadar lompatan kelas juga adalah berbeza.  Bagi kelas atasan mereka meneruskan mobiliti mendatar pada kelas yang sama.  Bagi kelas bawahan mobiliti keatas adalah memakan masa dan antara generasi yang berbeza.  Mereka yang berada di kelas atas meneruskan kedudukan mereka dengan merebut peluang-peluang pendidikan dan kerjaya terbaru.  Untuk mengekalkan  atau  meningkatkan lagi kedudukan mereka, mereka harus bekerja lebih giat.  Begitu juga dengan kelas bawah untuk bersaing  mereka harus melipatgandakan usaha mereka agar tidak jauh ketinggalan.  Usaha keras inilah yang  meruntun pengorbanan masa dan wang menjadi gantinya. 
5.3 Sosialisasi
Sosialisasi merupakan suatu proses mempelajari peranan, status dan nilai yang
perlu ada dalam institusi sosial.  Proses pembelajaran sepanjang hayat berlaku dalam institusi sosial.  Pemindahan norma dan nilai dalam keluarga serta budaya setempat sesuatu masyarakat kepada kanak-kanak.  Apa yang dipelajari oleh kanak-kanak akan membentuk konsep diri pada individu.  Oleh itu kelompok primer iaitu keluarga merupakan kelompok yang paling berpengaruh
Pentingnya fungsi kekeluargaan adalah sejak mula anak itu dilahirkan.  Anak-anak mula belajar dari kedua ibu bapa mereka.  Oleh itu ibu bapa yang memberi 'quality time' kepada anak-anak mereka dapat menanamkan minat dan bertindak balas dengan memberikan didikan dan peluang yang berpatutan. 
Setiap individu yang dilahirkan mempunyai potensi untuk berkembang ke arah kecemerlangan.  Bagi memastikan potensi ini berkembang ke arah yang positif, ibu bapalah yang terbaik memainkan peranan penting untuk membantu anak-anak ini mencapai keunggulan peribadi.  Anak-anak beruntung jika dilahirkan oleh orang tua yang penuh kasih sayang, perhatian dan pengertian dan memiliki kesempatan terbaik untuk mengembangkan fikiran mereka dengan penuh kegembiraan dan kejayaan.  Namun ada sesetengah ibu bapa tidak memainkan peranan  dengan berkesan dalam usaha menyalurkan bantuan yang amat diperlukan oleh anak-anak mereka disebabkan kesibukan tugas atau tidak mempunyai pengetahuan untuk membantu anak remaja.  Mereka tidak lagi prihatin tentang perkembangan anak-anak di sekolah, tidak mengetahui siapakah rakan-rakan anak mereka dan tidak menghiraukan  bagaimana masa lapang mereka dihabiskan.  Masa yang diluangkan untuk sama-sama menjalankan aktiviti bersama anak-anak adalah sangat terhad apatah lagi berkomunikasi terutama dengan anak remaja berhubung dengan kegiatan harian (Laurance Steinberg 1996).  Kenyataan ini sedikit sebanyak mengambarkan bahawa ibu bapa pada era ini gagal melaksanakan tugas dan tanggungjawab.  Maka itu kegagalan ibu bapa memberi pendidikan pada peringkat permulaan akan membawa kepada suatu petanda yang buruk terhadap disiplin anak-anak(Asmawati,1996).  Ini meneguhkan pendapat Freud,(Mahmod Nazar, 1990) yang mengatakan bahawa kualiti penjagaan yang diberikan di peringkat awal akan mempengaruhi di kemudian hari.
 Menurut pandangan seorang ahli sosiologi Robert K. Merton, di sebalik berlakunya pelanggaran undang-undang dan kawalan sosial, jenayah sebenarnya boleh berlaku disebabkan keadaan sesuatu masyarakat itu disusun.  Merton menegaskan, dalam kehidupan manusia memerlukan banyak perkara seperti kekayaan, kesenangan, kejayaan, kuasa atau hanya setakat rumah yang selesa dan sedikit keamanan dan ketenteraman.  Walaubagaimanapun kualiti norma hidup yang rendah mendorong kepada berlakunya jenayah dalam masyarakat. 
 6. Rumusan/Cadangan
"Mencegah lebih baik dari mengubati" .  Justeru itu institusi keluarga memainkan peranan yang lebih penting sebelum kita mengkaji dari aspek yang lebih luas seperti institusi pendidikan atau masyarakat. 
Masalah ini dapat diselesaikan seandainya ibu bapa memberikan perhatian rapi kepada anak-anak sejak mereka kecil dan sentiasa  sedia berkongsi masalah dengan mereka. Ibu bapa seharusnya menjadi kawan kepada anak mereka sendiri di samping menimbulkan persekitaran kekeluargaan dan teknik keibubapaan yang sihat serta cemerlang.  Kekeliruan perasaan, tidak dihargai dan terasing dalam keluarga sendiri lantaran kesibukan ibu bapa antara punca lain mendorong remaja melakukan kegiatan jenayah. 
Dalam masa yang sama ibu bapa harus bersikap tegas dalam mendidik anak-anak.  Komunikasi dua hala yang sihat  akan membantu anak meluahkan masalah mereka.  Ibu bapa perlu belajar  menyelami dan memenangi jiwa anak supaya anak remaja yang biasanya bersikap egosentrik dapat dilembutkan.  Ibu bapa perlu menjadi model terbaik kepada anak-anak. 
Pendidikan merupakan asas mobiliti sosial.  Namun, visi dan cita-cita yang luhur ini tidak akan tercapai seandainya masalah disiplin di kalangan pelajar tidak dapat dibendung. Setiap remaja perlu didekati supaya mereka menghayati keunggulan disiplin.  Keunggulan ini dapat dipraktikkan melalui kerjasama semua pihak baik pentadbir sekolah , guru disiplin, kaunselor, dan ibu bapa pelajar.  Secara tidak langsung masalah sosial yang semakin meningkat peratusnya dapat dikurangkan.
Pendidikan berperanan penting dalam perkembangan setiap individu.  Formula dan strategi pendidikan yang sesuai perlu dicipta bagi menghasilkan generasi yang berwibawa dan mampu bersaing dalam konteks globalisasi didorong oleh mekanisme sains dan teknologi. 
Pihak-pihak tertentu seperti kerajaan, persatuan belia. masyarakat setempat mula merangka program dan aktiviti-aktiviti untuk golongan remaja mengisi masa lapang mereka, sama ada kegiatan berbentuk setempat atau menerusi Gaya Hidup Rakan Muda.  Kerajaan menerusi kementerian Belia dan Sukan mengambil langkah segera memperluaskan program berkenaan. 
Kesimpulannya, sama ada disedari atau tidak kebanyakan masalah yang melanda remaja masa kini adalah disebabkan oleh tekanan serta permasalahan yang wujud di dalam alam persekitaran.  Misalnya, pembangunan yang terlalu pesat telah mengubah cara hidup masyarakat kita. Manusia menjadi semakin individualistik dan materialistik.  Lantaran itu, keseimbangan sosial harus dipulihkan semula.  Jika ini dapat dilakukan maka perhubungan kekeluargaan serta anggota masyarakat dapat diperteguhkan.  Apa yang lebih penting setiap daripada kita mempunyai tanggungjawab sosial tidak terkecuali remaja terutama dalam kita merealisasikan 'masyarakat madani' menjadi sebuah realiti dan bukan satu ilusi yang kosong.  Ini hanya dapat dijayakan dengan menyelamatkan golongan remaja daripada terjerumus ke lembah yang tidak diingini.

No comments:

Post a Comment