Showing posts with label AniSa NaDiah. Show all posts
Showing posts with label AniSa NaDiah. Show all posts

Sunday, 24 April 2011

Budaya Membaca Rakyat Malaysia

Amalan membaca dapat mewujudkan masyarakat yang bijaksana. Hal ini demikian kerana mereka mampu menguasai ilmu sesuatu pengetahuan seterusnya memanfaatkannya pada jalan yang baik. Tradisi membaca yang kukuh adalah bermula pada peringkat kanak-kanak. Justeru, ibu bapa hendaklah bijak memilih masa yang sesuai untuk membacakan buku cerita kepada anak-anak. Misalnya, sebelum anak-anak tidur. Bak kata pepatah, “Melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Begitulah juga usaha memupuk minat membaca dalam kalangan kanak-kanak. Namun demikian, cara sesebuah buku dipersembahkan kepada kanak-kanak perlu dititikberatkan juga. Contohnya, dengan banyak menggunakan ilustrasi atau gambar yang menarik.
Di Malaysia, tradisi membaca cukup memberangsangkan ketika gelombang saingan daripada media elektronik melanda dengan hebatnya. Oleh itu, usaha-usaha menanam minat membaca dalam kalangan rakyat mestilah dijalankan secara berterusan dan dilipatgandakan dari semasa ke semasa Kempen membaca pula mestilah dilaksanakan sepanjang tahun. Usaha ini hendaklah melibatkan pelbagai peringkat umur pembaca, iaitu golongan kanak-kanak, remaja, dan dewasa, serta mencakupi pelbagai bidang yang sesuai dengan keperluan pembaca. Sementara itu, Kempen Bulan Membaca Kebangsaan pada setiap bulan Julai perlu disesuaikan dan disusun semula programnya.
Dalam usaha menggalakkan pembacaan dalam kalangan masyarakat Malaysia, pelbagai jenis buku wajar mengisi ruang perpustakaan awam atau pusat sumber sekolah. Buku-buku itu pula hendaklah ditulis dalam bahasa Malaysia dan diterbitkan di Malaysia. Syarikat penerbitan juga digalakkan menganjurkan pertandingan yang melibatkan aktiviti membaca. Misalnya, pertandingan menulis cerpen atau esei, pertandingan ulasan novel, dan sebagainya. Dalam hal ini, semua pihak berperanan penting untuk membantu usaha memupuk minat membaca dalam kalangan rakyat Malaysia.

membaca buku RINGKASAN PMR 01: Budaya Membaca Rakyat Malaysia

Peranan Jabatan Kebajikan Masyarakat

Jabatan Kebajikan Masyarakat telah diwujudkan dengan tujuan membantu kerajaan menangani masalah dalam masyarakat terutama berkaitan dengan kebajikan sosial mereka. Banyak masalah sosial yang wujud di negara ini seperti anak yatim piatu, kes anak angkat dan golongan miskin serta warga emas memerlukan penjagaan pihak tertentu. Pihak media massa telah acap kali menyiarkan berita tentang penglibatan jabatan ini dalam membantu golongan yang bermasalah ini. Oleh itu, pelbagai tugas telah dilaksanakan oleh jabatan ini.
Peranan yang ketara ialah jabatan ini memberikan bantuan kewangan kepada kanak-kanak miskin untuk meneruskan persekolahan mereka. Bukan sahaja wang saku diberikan tetapi bantuan buku dan bayaran yuran peperiksaan dilaksanakan oleh jabatan ini dengan baiknya. Pemberian ini banyak dikaitkan dengan kepentingan pendidikan dalam kehidupan seseorang itu terutama pada masa hadapan atau memberikan golongan ini satu cahaya dalam mengharungi kehidupan yang penuh cabaran itu. Jadi, jabatan ini memberikan bantuan kewangan kepada kanak-kanak miskin untuk bersekolah.
Selain itu, jabatan ini turut memberikan perlindungan kepada kanak-kanak yang teraniaya. Biasanya, kes-kes penderaan menjadi punca kanak-kanak teraniaya di negara ini selain ketiadaan penjaga akibat kematian atau sebab-sebab lainnya. Kanak-kanak ini akan diberikan tempat tinggal, makan minum dan semua keperluan harian lagi untuk memastikan kehidupan mereka lebih terjamin sama seperti mereka memiliki ayah dan ibu pula. Oleh itu, jabatan ini memberikan perlindungan pula kepada golongan yang teraniaya.
Jabatan ini juga turut membantu golongan warga emas dengan memberikan golongan ini tempat berteduh yang baik. Kebanyakan warga tua yang tidak mempunyai apa-apa ini akan ditempatkan di rumah orang tua oleh jabatan ini. Di rumah orang tua inilah golongan warga emas boleh bergaul mesra dengan rakan-rakan senasib selain diberi perhatian perubatan dan keperluan kehidupan lain oleh pekerja-pekerja jabatan ini. Jelaslah, nasib warga tua turut diambil berat oleh jabatan ini dengan memberikan mereka tempat berteduh di rumah orang tua.
Malahan, pihak jabatan ini turut menghulurkan bantuan kepada golongan kurang upaya dan cacat di negara ini. Bantuan yang diberikan biasanya dalam bentuk latihan untuk memudahkan golongan ini memperoleh pekerjaan atau mencari rezeki dengan lebih mudah. Satu jumlah elaun yang tertentu juga diberikan kepada golongan ini untuk memudahkan mereka meneruskan kehidupan pula. Sesungguhnya, jabatan ini telah memberikan banyak bantuan kepada golongan cacat dan kurang upaya di Malaysia supaya kehidupan mereka lebih baik.
Kesimpulannya, Jabatan Kebajikan Masyarakat memainkan peranan yang begitu besar dalam perbangunan rohaniah rakyat negara ini. Jabatan ini berusaha untuk memastikan semua lapisan rakyat Malaysia menerima perhatian dan penjagaan sosial yang sewajarnya. Lantaran itu, kerjasama semua pihak terutama pihak swasta dalam memberikan sumbangan kewangan amat diperlukan dalam memastikan semua program jabatan ini berjalan lancar. Tanpa kewujudan jabatan ini kemungkinan kebaijkan rakyat kita akan terabai.

Kepentingan Pemakanan Yang Seimbang

Makanan seimbang ialah pengambilan makanan yang cukup untuk keperluan tubuh badan. Manusia memerlukan makanan dan vitamin untuk pembesaran dan menjaga kesihatan. Media massa turut mempopularkan pemakanan seimbang menerusi pelbagai program dan penulisan artikel mengenai pemakanan yang sihat ini. Oleh itu, wujud pelbagai kebaikan daripada makanan seimbang ini.
Kepentingan pemakanan seimbang yang utama ialah sikap ini menjadikan pembesaran manusia itu lebih sempurna daripada aspek fizikal. Tubuh badan menerima semua keperluan zat yang diperlukan untuk membina tubuh badan yang kuat daripada keperluan fizikal manusia. Keupayaan fizikal yang ketara ini menjadikan seseorang manusia itu boleh menjalankan tugasnya dengan begitu baik dan sempurna. Jelaslah, pemakanan seimbang menjadikan fizikal manusia itu lebih baik berbanding manusia lain yang kurang menjaga aspek pemakanannya.
Selain itu, pemakanan yang seimbang menjadikan perkembangan mental seseorang itu terganggu pula. Kekurangan zat makanan yang tertentu boleh menjadikan mental seseorang itu tidak cukup cerdas atau mudah letih apabila cuba menyelesaikan sesuatu perkara yang dialami dalam kehidupan seseorang itu. Keadaan ini menjadikan seseorang itu gagal berfikir untuk menyelesaikan masalahnya dengan lebih efektif berbanding dengan individu yang seimbang aspek pemakanannya. Jadi, pemakanan seimbang menjadikan aspek mental manusia lebih stabil dan berdaya tahan.
Kemungkinan kepentingan pemakanan seimbang yang mudah difahami ialah makanan yang seimbang memberikan vitamin yang cukup kepada badan seseorang itu. Keperluan vitamin yang cukup ini menjadikan tubuh manusia itu lebih tahan untuk menghadapi sebarang jangkitan penyakit atau tidak mudah untuk jatuh sakit. Kesihatan manusia dikatakan perkara yang paling penting dalam kehidupan seseorang itu. Sesungguhnya, manusia yang mengamalkan pemakanan seimbang akan mempunyai kesihatan yang sihat sejahtera sahaja.
Malahan, pemakanan seimbang turut dikatakan mampu mengawal kadar obesiti masyarakat dunia. Salah satu aspek utama dalam pemakanan seimbang ialah manusia perlulah mengambil makanan dalam kuantiti yang kecil tetapi cukup khasiat yang diperlukan oleh badan. Pengawalan pemakanan sebegi menjadikan tubuh seseorang itu tidak terlalu gemuk dan memudahkan mereka untuk menjalankan pelbagai aktiviti terutama aktiviti senaman yang mampu menyihatkan badan pula. Oleh itu, obesiti mampu diatasi jika seseorang itu mempunyai diet pemakanan seimbang dalam hidupnya.
Kesimpulannya, kita perlu mengambil makanan yang seimbang kerana semua kepentingannya sudah dinyatakan tadi. Bukan sahaja individu tetapi masyarakat dan seterusnya negara akan menerima kesan positif daripada pemakanan yang baik ini. Jika masyarakat masih ingkar dan tidak mahu berubah sudah pasti jumlah pesakit penyakit kronik di negara ini akan bertambah pula. Ketika itu mungkin sudah terlewat untuk kita semua mengambil langkah pencegahannya. “Tepuk dada tanya selera”.

makanan seimbang Karangan PMR 05: Kepentingan Pemakanan Seimbang   makanan sihat 300x214 Karangan PMR 05: Kepentingan Pemakanan Seimbang